PARAGON Market Place, Johor Bahru menerima 10,000 pengunjung dalam tempoh tiga hari selepas pasar raya itu beroperasi secara rasmi sejak 6 Jun lalu.
Pasar raya yang dibangunkan secara usaha sama dengan Joland Group, Kuopacific Group itu mempunyai keluasan 157,247 kaki persegi itu dilengkapi 144 lot kedai.
Pengarah Eksekutif Joland Group, Datuk Seri Godwin Tan Pei Poh berkata, ia petanda positif dengan 90 peratus ruang lantai sudah disewa.
“Kini terdapat 75 peratus penyewa yang membuka perniagaan dan kedai runcit, manakala bakinya akan dibuka secara berperingkat.
“Kami berharap pembukaan ini dapat meningkatkan ekonomi tempatan dan peluang pekerjaan serta perniagaan khususnya kepada perindustrian kecil dan sederhana (PKS).
“Kami memiliki 70 penyewa yang menyewa 144 lot kedai tiga tingkat di pasar raya ini,” katanya pada Majlis Soft Launching Paragon Market Place.
Menurut Godwin, pihaknya akan memastikan semua pengunjung, rakan niaga dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Ia termasuk melaksanakan pemeriksaan suhu badan, penjarakan sosial, menulis data peribadi, juga dari sudut kebersihan termasuk membuat semburan sanitasi di setiap kemudahan dan bangunan.
“Dengan slogan, ‘Kami sentiasa memenuhi keperluan komuniti’, pasar raya kami menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan rumah, pakaian serta makanan bagi memenuhi keperluan harian masyarakat.
“Malah, lokasi kami yang terletak di Kawasan Komersial Jalan Tampoi ini berdekatan dengan penempatan penduduk seperti Kampung Melayu Majidee, Taman Gembira, Kampung Ungku Mohsin, Larkin, Bandar Baru Uda dan Taman Damansara Aliff,” katanya.
Source link