GAZA: Dalam tempoh 24 jam lepas, pasukan penyelamat menemui 160 mayat di bawah runtuhan dan jalan raya Semenanjung Gaza, menjadikan angka kematian meningkat kepada lebih 15,000 orang, termasuk lebih 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita.
Menurut Agensi Berita Palestin (Wafa), anggota penyelamat setakat ini bergantung kepada kaedah manual untuk mengeluarkan mayat, memandangkan kekurangan jentera dan peralatan.
Data tidak rasmi menunjukkan kira-kira 6,500 orang masih hilang, termasuk lebih 4,700 kanak-kanak dan wanita.
Sejak jeda kemanusiaan bermula Jumaat lalu, pasukan penyelamat, ambulans serta penduduk berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin mayat dengan kemampuan yang ada.
Serangan udara, darat dan laut tentera Israel turut menyebabkan 300,000 kediaman rosak, termasuk 50,000 rumah musnah sepenuhnya.
Israel teruskan serangan
Walaupun jeda kemanusiaan berlangsung, rejim Zionis menghalang penduduk yang mencari perlindungan di selatan Semenanjung Gaza daripada kembali ke bandar dan pekan mereka di utara wilayah itu.
Tentera penceroboh yang ditempatkan di Jalan Salah al-Din melepaskan tembakan ke arah penduduk yang cuba memeriksa rumah dan mencari ahli keluarga hilang, menyebabkan tiga terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Dalam perkembangan berkaitan di Tebing Barat, Wafa melaporkan dua penduduk Palestin, termasuk seorang kanak-kanak cedera ditembak selepas bertempur dengan tentera Israel yang menyerbu bandar Jenin dan kem pelarian di kawasan itu.
Mereka turut menggunakan bom tangan dan gas pemedih mata, menyebabkan beberapa orang sesak nafas dan terpaksa dirawat di hospital.
Pasukan tentera Israel disertai sebuah jentolak, menyerbu bandar dari pelbagai arah, memecah masuk beberapa rumah, menempatkan penembak tepat di atas bumbung bangunan tinggi dan melaksanakan perintah berkurung ke atas kem pelarian itu.
Tentera dilaporkan menempatkan pasukannya di depan Hospital Jenin dan kawasan sekitarnya, di kem pelarian serta beberapa kawasan perumahan untuk mencari penduduk Palestin dikehendaki, sementara dron terbang rendah di kawasan itu.
44 wartawan Palestin ditahan
Menurut kumpulan wartawan tempatan, sekurang-kurangnya 44 wartawan Palestin ditahan di penjara Israel dengan 29 daripadanya ditangkap sejak 7 Okt lalu.
Tentera penceroboh Israel membebaskan 12 daripada wartawan ditahan itu selepas menjalani tempoh hukuman, menurut kenyataan Palestinian Journalists Syndicate (PJS) pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
Agensi itu berkata, 29 wartawan masih ditahan.
Pertubuhan itu pada Sabtu menyiarkan nama 70 wartawan dan petugas media yang terbunuh akibat pengeboman Israel sejak 7 Okt lalu.
Source link