289 ditahan ingkar arahan PKP

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan itu termasuk tidak memakai pelitup muka dan gagal mematuhi penjarakan fizikal. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seramai 289 individu ditahan polis semalam kerana ingkar arahan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan itu termasuk tidak memakai pelitup muka dan gagal mematuhi penjarakan fizikal.

“Daripada jumlah itu, seramai 277 individu dikompaun manakala 11 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (108), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (59), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (51), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (38) dan lain-lain (33),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng semalam menahan 35 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang penyeludup selain merampas 9 kenderaan darat.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Source link

Comments (0)
Add Comment