(Dari kiri) Hakim Zabidin Diah, Yaacob Sam dan Abdul Karim Abdul Jalil dipercayai menjadi calon bagi pelantikan sebagai peguam negara menggantikan Idrus harun.
PETALING JAYA: Tiga hakim sedang berkhidmat dikatakan dipertimbangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai peguam negara baharu, menurut sumber.
Mereka adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Zabidin Diah serta Yaacob Sam dan Abdul Karim Abdul Jalil, masing-masing hakim Mahkamah Rayuan.
Sumber berkata, ketiga-tiganya mempunyai kelayakan mengisi jawatan itu memandangkan mereka mempunyai pengalaman mengendalikan kes jenayah dan sivil sebagai hakim dan ketika berkhidmat dalam badan kehakiman dan perundangan.
“Berpengalaman dan berpengetahuan dalam undang-undang jenayah dan sivil penting kerana peguam negara adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.
“Peguam negara juga merupakan pendakwa raya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tatacara Jenayah.
“Individu yang mempunyai kelayakan tinggi diperlukan memandangkan tanggungjawab mengendalikan kes jenayah berprofil tinggi,” kata sumber itu.
Sebelum ini, Allahyarham Mohtar Abdullah, Apandi Ali dan peguam negara ketika ini, Idrus Harun, juga merupakan bekas hakim yang dilantik menjawat jawatan itu.
Zabidin ketika ini merupakan pemangku Hakim Besar Malaya susulan kekosongan berlaku selepas persaraan Azahar Mohamed, dua bulan lalu.
Beliau pernah dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2004, sebelum menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada 2006.
Zabidin dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan pada 2018, dan diangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.
Yaacob dan Karim ketika ini adalah dua hakim kanan Mahkamah Rayuan.
Yaacob dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2009, dan menjadi hakim Mahkamah Rayuan setahun selepas itu.
Beliau juga merupakan pengerusi dan ahli Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dari 2014 hingga 2017.
Beliau diangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2017.
Karim pula dilantik pesuruhjaya kehakiman pada 2012 dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 2014.
Beliau kemudian diangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2016.
Pelantikan Idrus dijadual berakhir pada Mac.
Bagaimanapun, FMT difahamkan beliau sedia melepaskan jawatan itu lebih awal jika Anwar sudah mengenal pasti pengganti bersesuaian.
Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri, melantik seseorang yang layak bagi menjadi hakim Mahkamah Persekutuan untuk menjadi peguam negara.
Mengikut Perkara 123 Perlembagaan, individu itu mesti seorang warganegara dan mempunyai pengalaman 10 tahun berkhidmat sebagai peguam bela mana-mana Mahkamah Tinggi atau mempunyai perkhidmatan kehakiman dan perundangan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri layak dilantik sebagai peguam negara.