PETALING JAYA: Empat lagi individu ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan penahanan seorang warga Israel bersama enam senjata api di sebuah hotel minggu lalu.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, dua wanita dan dua lelaki berusia 28 hingga 41 tahun ditahan di sekitar Skudai serta Gelang Patah semalam.
“Tangkapan terbaharu ini sekali gus menjadikan tujuh individu sudah ditahan,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan empat individu itu dalam kes berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang warga Israel berumur 36 tahun ditahan bersama enam senjata api dan 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu.
Lelaki itu dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki dipercayai menjadi pemandu kepada warga Israel itu di Cameron Highlands, selain sepasang suami isteri ditahan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu kerana disyaki membekalkan senjata api kepada suspek utama.
Razarudin berkata, reman pasangan warga tempatan itu akan tamat esok dan pihaknya akan memohon lanjutan reman untuk siasatan bersama suspek utama mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api.