4 loji air di Selangor ditutup akibat pencemaran bau

Air Selangor melaporkan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor kepada Lembaga Urus Air Selangor untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Operasi 4 loji rawatan air (LRA) di Selangor terpaksa dihentikan 7 malam tadi akibat pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berkata, pencemaran bau itu menyebabkan LRA Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihentikan buat sementara.

Katanya, gangguan bekalan air dijangka berlaku di 7 kawasan, iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Pihak Air Selangor telah melaporkan insiden pencemaran ini kepada Lembaga Urus Air Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

“Air Selangor akan menyalurkan maklumat kawasan gangguan bekalan kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor, termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.”

Julai tahun lalu, pencemaran diesel dikesan di muka sauk LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta Rantau Panjang disebabkan aktiviti mengorek pasir di hulu sungai.

Ia disusuli pencemaran bau di Sungai Semenyih akibat pembuangan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd yang menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya pada 21 Dis tahun lalu.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan membabitkan 328,957 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Source link

Comments (0)
Add Comment