4 termasuk jurutera direman berkait tuntutan palsu RM86,000

Sumber SPRM berkata, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu RM86,000 sedangkan projek laluan pejalan kaki itu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
PETALING JAYA: Empat termasuk jurutera sebuah agensi kerajaan direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu membabitkan projek laluan pejalan kaki bernilai RM86,000 di Taman Bandaraya, Georgetown empat tahun lalu.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas membenarkan permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Menurut sumber, jurutera berusia 34 tahun serta tiga kontraktor berusia lingkungan 30-an itu ditahan semalam selepas hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan.
“Semua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu kira-kira bernilai RM86,000 bagi projek laluan pejalan kaki di Taman Bandaraya.
“Bagaimanapun, projek itu tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya, menurut Sinar Harian.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan jika didapati bersalah.

Source link

juruterasprmtuntutan palsu
Comments (0)
Add Comment