NIBONG TEBAL: Kerajaan komited membina sekolah baharu dalam usaha memenuhi keperluan dan menangani isu sekolah padat, terutamanya di kawasan bandar.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata menerusi Belanjawan 2025, kerajaan meluluskan pembinaan 44 sekolah, paling banyak dalam tempoh empat tahun terkini.
“Saya kongsikan pembinaan sekolah yang diluluskan dalam belanjawan mengikut tahun bagi empat tahun terakhir, iaitu 2025 sebanyak 44 buah, 2024 (26) dan masing-masing sembilan buah bagi 2023 dan 2022.
“Jika dilihat data itu, dua tahun terakhir kerajaan berusaha meningkatkan pembinaan sekolah baharu bagi memenuhi keperluan dan menangani isu sekolah padat, terutamanya di kawasan bandar serta pelbagai lagi usaha dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Dewan Chong Kuang di Sungai Bakap.
Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar dan barisan kepimpinan parti kerajaan perpaduan.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal mengulas rungutan ibu bapa di laman sosial mendakwa jumlah murid darjah satu sehingga 50 orang dalam satu kelas di beberapa sekolah bandar.
Mereka bimbang terlalu ramai murid dalam kelas akan memberi kesan kepada sesi pembelajaran.
Fadhlina berkata, KPM mengambil perhatian penuh perkara itu, terutama dari segi kondusi dan suasana murid serta guru dan memberi jaminan tindakan bersesuaian akan diambil segera, antaranya menempatkan mereka di sekolah lain.
Beliau juga memohon kerjasama ibu bapa terlibat berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah berdasarkan unjuran dilakukan.
Sementara itu, Fadhlina berkata, kanak-kanak diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di seluruh negara akan mengikuti pendidikan di sekolah kebangsaan apabila sesi persekolahan bermula 17 Feb ini.
Menurutnya, mereka sebelum ini mengikuti kelas khas dikendalikan KPM sepenuhnya di tempat perlindungan ditetapkan.
“Sebenarnya, dalam perkara ini, kita masih mendapatkan dan mengumpul data tersebut memandangkan sesi lepas, kita hentikan sebentar (kelas khas) untuk mereka kerana meneruskan kes-kes mereka di mahkamah.
“Jadi, sebaik saja selesai proses itu (kes mahkamah) semua, saya ingat mereka tiada masalah ke sekolah dan teruskan sesi persekolahan.”
Source link