KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim hari ini meminta kerajaan menyatakan inisiatif diambil untuk mengisi 440,000 kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh pekerja asing.
Beliau berkata terdapat 1.9 juta pekerja asing pada Januari tahun ini yang menurun kepada 1.54 juta pada Mei.
Azeez juga bertanya apakah kementerian akan mewujudkan inisiatif tambahan khususnya untuk menarik rakyat tempatan menggantikan pekerja-pekerja asing di sektor pembinaan dan pembuatan dengan menyediakan insurans tambahan serta bantuan persekolahan anak-anak mereka.
Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kementerian akan berusaha keras untuk menggalakkan warga tempatan mengambil pekerjaan dalam pelbagai sektor.
“Kerajaan membuktikan dalam masa 6 bulan, kita sempat mengurangkan penglibatan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini, sambil menambah pekerjaan kaunter di stesen minyak dan restoran disediakan untuk penduduk tempatan.
Saravanan berkata kementerian akan membekalkan jaringan keselamatan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk semua pekerja warga tempatan bawah golongan B40.
Beliau berkata kerajaan tidak lama lagi akan menguatkuasakan Akta 446 di mana semua pekerja asing akan diberi perlindungan dari segi perumahan dan kesejahteraan.