PETALING JAYA: Polis melumpuhkan sindiket penipuan dalam talian dengan penahanan 40 lelaki dan lapan wanita di empat lokasi berasingan di Port Dickson baru-baru ini.
Ketua Polis Port Dickson, Maslan Udin, berkata 35 warga tempatan dan 13 warga asing berusia 19 tahun hingga 40 tahun itu ditahan menerusi Ops Belatuk serta Ops Nuri pada 14 Nov hingga 3 Dis lalu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, IPK Negeri Sembilan dan IPD Port Dickson.
Beliau berkata, semua suspek sudah didakwa bawah Seksyen 420/120B (2) Kanun Keseksaan.
“Polis merampas 271 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 44 komputer riba pelbagai jenama, 8 kereta pelbagai jenama serta wang tunai RM10,150 dan anggaran rampasan berjumlah RM820,150,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Pelupusan Barang Kes di IPD Port Dickson.
Pada majlis itu, sejumlah barangan kes membabitkan 194 kertas siasatan bermula 2019 hingga tahun ini dilupuskan.