PETALING JAYA: Sebanyak 606 sekolah tahfiz di Selangor tidak pernah mendaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejak 2008, kata Exco negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah.
Beliau berkata, jumlah itu diperoleh menerusi Program Pemutihan Tahfiz Selangor oleh kerajaan negeri.
“Kita ambil serius (sekolah tahfiz tidak berdaftar) dan sebarang rungutan yang ada,” katanya menurut Bernama dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.
“Soal keselamatan tidak boleh kita pinggirkan dan saya rasa daripada titah Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) sangat jelas bahawa sekolah (tahfiz) yang tidak patuh untuk keluar dari tempoh pemutihan ini akan ditutup.”
Beliau menjawab soalan tambahan Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi (PH-Seri Serdang) berhubung usaha menambah baik kualiti infrastruktur sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di bawah Jais bagi mengelakkan kemalangan nyawa membabitkan murid.
Sultan Sharafuddin pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga DUN Selangor menitahkan Jais melakukan penambahbaikan sistem dengan fasiliti keselamatan diiktiraf di sekolah tahfiz, selain memastikan alat pencegah kebakaran dalam keadaan baik dan diluluskan bomba.
Baginda juga menitahkan sekolah tahfiz tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat ditutup.
Fahmi berkata, siasatan awal kes kematian seorang murid di sekolah Kafa di Serdang pada tahun lalu dimulakan dan keluarga mangsa turut menerima sumbangan Tabung Infak Jariah Umat Islam Negeri Selangor sebanyak RM1,000.
Beliau menjawab pertanyaan Abbas Salimmi berhubung bantuan diberikan, khususnya Jais kepada keluarga mangsa renjatan elektrik itu.
Menurut laporan media, seorang kanak-kanak lelaki 12 tahun maut disyaki terkena renjatan elektrik di sebuah sekolah di Serdang pada 18 Dis lalu.
Source link