7,500 angota ATM mula tugas laksana perintah kawalan

7,500 anggota ATM daripada 3 perkhidmatan darat, laut dan udara memulakan tugas membantu polis dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan Covid-19 hari ini hingga 31 Mac.

KUALA LUMPUR: Seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara diatur gerak setiap hari bagi membantu polis melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Panglima ATM, Affendi Buang berkata, jumlah keanggotaan berkenaan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu laut, udara dan darat yang disifatkan mencukupi serta tiada keperluan penambahan keanggotaan setakat ini.

“Ia bergantung pada tugas-tugas yang akan datang, jika ada tempat diperlukan untuk diperbesarkan kawasaan jagaan kami akan memperkasakan dan tambah mengikut keperluan keadaan.

“Mereka ini bekerja dan diletak di satu-satu kawasan sekatan jalan raya dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam,” katanya.

Panglima ATM, Affendi Buang

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau anggota tentera yang bertugas dalam membantu polis di sini, hari ini.

Menurut Affendi, kesemua anggota berkenaan dikehendaki bertugas secara bergilir-gilir mengikut shif yang ditetapkan sehingga selesai tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Anggota ini ada yang dibekalkan dengan senjata ringan (M4) yang fungsinya hanya untuk memeriksa kenderaan bagi memastikan yang dibenarkan sahaja boleh melakukan perjalanan, selain untuk keselamatan anggota,” katanya sambil menambah tiada tujuan untuk menakutkan orang awam.

Affendi berkata, sehingga kini selain membantu dalam sekatan jalan raya, anggota keselamatan turut akan mengadakan rondaan menggunakan kenderaan ronda tentera dan tiada keperluan menggunakan kenderaan atau senjata berat milik ATM.

“Tiada keperluan untuk itu (menggunakan kenderaan berat) kami hendak memperkasakan PKP jadi tidak perlu pakai senjata berat. Kami bukan melawan musuh, kami jalankan tugas ketenteraman awam sahaja,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebelum ini berkata, tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksanakan PKP pada 12 tengah hari.

Selain itu, Ismail berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar dan pasar raya bagi memantau pematuhan penjarakan sosial.

Source link

Comments (0)
Add Comment