Acara untuk peminjam wang berlesen dikritik ada kaitan Ah Long

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berucap dalam majlis Anugerah Kredit Madani pada 15 Nov lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah majlis penganugerahan untuk syarikat peminjam wang berlesen diadakan minggu lalu bertujuan menaikkan imej industri itu, kata sumber kerajaan selepas dikritik “Ah Long” (peminjam wang tidak berlesen) diberikan pengiktirafan.

“Dakwaan itu seolah-olah menteri memberi anugerah kepada Ah Long (peminjam wang tidak berlesen), yang merupakan salah nyata,” kata sumber dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada FMT.

Sumber itu mempertahankan keputusan menganjurkan Anugerah Kredit Madani 2024, susulan kritikan acara pada Jumaat lalu itu bertujuan memberi penghargaan kepada industri yang sering dikaitkan dengan pinjaman wang tanpa lesen.

Sebaliknya, acara itu bertujuan menjenamakan semula industri pemberi pinjaman wang dan pajak gadai sebagai sektor profesional yang menyediakan akses kredit sangat diperlukan kepada komuniti tidak layak mendapat pinjaman bank, kata sumber itu.

Beliau turut menolak dakwaan majlis penganugerahan itu bermotifkan politik.

Jelasnya, pajak gadai dan peminjam wang berlesen beroperasi di bawah peraturan ketat ditetapkan kementerian, dengan kadar faedah maksimum 2% sebulan.

“Perkhidmatan ini menyediakan bantuan kepada komuniti tidak layak mendapat pinjaman bank, membantu mengelakkan kebergantungan kepada peminjam wang tidak berlesen.

“Tanpa akses sedemikian, komuniti itu mungkin beralih kepada peminjam wang tidak dikawal selia.”

Sumber itu menegaskan ada pemegang pajak gadai yang disenarai di Bursa Malaysia, menunjukkan kesahihan dan sumbangan industri itu kepada ekonomi.

Terdahulu, sebuah portal berita dalam talian hari ini melaporkan acara anjuran kementerian yang diketuai Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berdepan kritikan warganet.

Ada yang mendakwa ia menunjukkan parti majoriti Cina itu menggunakan kedudukannya dalam kerajaan untuk memberi pengiktirafan kepada sektor perniagaan kerap dianggap sebahagian daripada ekosistemnya.

Majlis penganugerahan dengan kerjasama persatuan pemberi pinjaman wang berlesen dan Persatuan Tuan Punya Pajak Gadai itu julung kali diadakan di Malaysia.

Sehingga 30 Sept lalu, terdapat 4,315 peminjam wang berlesen, dengan 3,141 beroperasi di Semenanjung Malaysia di bawah peraturan kementerian.

Baki 1,174 pemegang lesen di Sabah, Sarawak dan Labuan terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa pelesenan negeri masing-masing. Dalam tempoh sama, terdapat 902 pemegang pajak gadai berlesen di seluruh negara, semuanya dikawal selia kementerian.

Source link

Ah longAnugerah Kredit MadaniNga Kor Mingpajak gadaipeminjam wang
Comments (0)
Add Comment