Acara Auto Car Expo (ACE) 2024 anjuran paultan.org bakal kembali dengan tajaan bersama Carro dan akan berlangsung pada 26-27 Oktober 2024 di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Masuk adalah percuma, dan pelbagai jenama dan model kenderaan dengan promosi istimewa menanti pengunjung.
Sebagai penaja bersama ACE 2024, Carro akan menawarkan pembelian Carro Certified Cars terpilih dengan potongan sehingga RM13,800, dan anda akan turut layak menyertai cabutan bertuah untuk memenangi pelbagai hadiah yang disedikan.
Pembelian dari barisan “Cars of the Month” oleh Carro dengan tawaran eksklusif untuk ACE 2024 ini akan berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa satu unit Sony PlayStation 5 Digital bernilai RM2,069, dua unit penyedut hampagas Dyson V8 Fluffy+ bernilai RM1,599 setiap satu, dua unit Nintendo Switch OLED bernilai RM1,228 setiap satu dan tiga unit Apple AirPods bernilai RM829.
Jenama lain yang akan berada di ACE 2024 termasuklah Toyota, Proton, Mitsubishi, Perodua, Volkswagen, BYD, Ford serta smart dan eMas yang diuruskan oleh Pro-Net.
Selain itu, BMW/MINI (menerusi Auto Bavaria) dan Volvo (menerusi Sime Darby Swedish Auto) juga akan terlibat, serta beberapa jenama lagi di bawah kendalian EON yang turut akan mewakili jenama smart dan Audi, serta Cycle & Carriage dengan jenama Peugeot dan Leapmotor. Untuk motosikal, akan ada jenama BMW Motorrad, serta tidak lupa Trapo yang pelbagai produk melalui Exosystem-nya.
Pengunjung ACE 2024 turut berpeluang memandu uji barisan kenderaan dari pelbagai jenama yang menyertai acara tersebut. Dan, tidak hanya kenderaan baru yang akan dipamerkan: kenderaan terpakai juga akan dibawa — dengan pelbagai tawaran menarik untuk dinikmati oleh pelanggan, yang tidak ditawarkan di tempat lain.
Tidak ketinggalan, 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan mana-mana kereta baru akan menerima baucar gabungan bernilai RM2,500, yang terdiri daripada RM500 baucar filem penapis haba/coating V-Kool, RM500 baucar Dodomat, RM500 baucar penapis udara Blueair, RM500 baucar untuk balutan kulit kustom DK Schweizer serta RM500 baucar dari Kuzig Glanz untuk filem pelindung cat badan kenderaan.
Akan ada banyak lagi promosi yang akan diumumkan sempena ACE 2024. Jadi terus perhatikan ruangan ini untuk maklumat lanjut. Tandakan kalender — 26-27 Oktober 2024 — dan jumpa nanti di SCCC. Masuk adalah percuma!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.