Seorang ahli ekonomi berkata, Ahmad Maslan dan Steven Sim yang dilantik sebagai timbalan menteri kewangan, kurang pengalaman dalam kewangan atau kementerian. (Gambar Fail)
PETALING JAYA: Ahmad Maslan dan Steven Sim kurang kelayakan sebagai timbalan menteri kewangan, kata seorang ahli ekonomi yang menyifatkan pelantikan mereka berdasarkan politik.
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, kedua-dua Ahli Parlimen itu tiada pengalaman dalam bidang kewangan atau mengendalikan Kementerian Kewangan.
“Saya tidak tahu bagaimana mereka akan menyumbang kepada Kementerian Kewangan. Saya mengharapkan calon lebih sesuai seperti Johari Ghani, tetapi pastinya Ahmad sebagai setiausaha agung Umno mendapat keutamaan,” katanya kepada FMT.
Johari, yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, ialah bekas menteri kewangan kedua di bawah kerajaan pimpinan Najib Razak.
Tetapi, Barjoyai berkata, tidak kira siapa yang dilantik, ahli politik tetap ahli politik dan jika mereka serahkan tugas kepada penjawat awam, Kementerian Kewangan boleh melakukannya dengan baik.
Terdahulu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menerajui Kementerian Kewangan, mengumumkan Ahmad dan Sim sebagai timbalan menteri kewangan.
Ahmad ialah Ahli Parlimen Pontian di Johor, manakala Sim daripada DAP ialah Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Pulau Pinang.
Seorang lagi ahli ekonomi, Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, pelantikan dua timbalan menteri kewangan bertujuan menangkis kritikan terhadap Anwar sebagai perdana menteri yang turut memegang portfolio kewangan serta menyediakan semak dan imbang.
Katanya, Anwar perlu mengambil kira pelbagai faktor ketika membuat pelantikan menteri dan timbalan menteri bagi memastikan pentadbirannya berkekalan.
Dengan selesainya pelantikan menteri dan timbalan, katanya, kini masanya untuk kerajaan mengutamakan penyelesaian terhadap inflasi dan kos sara hidup yang semakin meningkat serta pengangguran, antara isu ekonomi lain.