Airasia Food lebar sayap ke Johor, Pulau Pinang

0

Kuala Lumpur: Hampir setahun sejak diperkenalkan di kawasan Lembah Klang, airasia food kini bakal melebarkan sayapnya ke bandar raya utama lain di negara ini bermula dengan Johor dan Pulau Pinang bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata, perniagaan itu mencatatkan pertumbuhan sangat positif terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan semula antara tempoh Oktober hingga Disember 2020, dan menjanjikan prospek yang baik melangkah ke tahun 2021.

Beliau berkata di bawah pelan pengembangannya, syarikat itu memulakan program keusahawanan untuk melatih lebih ramai tenaga kerja bagi menampung potensi pasaran pada masa akan datang serta mendapatkan lebih banyak peniaga menyertai platformnya.

“Orang ramai sedang mencari lebih banyak pilihan (perkhidmatan penghantaran makanan) ketika ini dan tawaran kami di airasia food, sama ada daripada perspektif pelanggan dan peniaga, boleh memenuhi keperluan mereka dalam pasaran,” katanya kepada Bernama.

Riad menamakan Ipoh, Kota Kinabalu, Kuching, Miri dan Kota Bharu sebagai pasaran berpotensi seterusnya.

Bagi pasaran antarabangsa, beliau berkata, syarikat itu menyasar memulakannya di Singapura bulan depan, dan pasaran lain seperti Indonesia, Filipina dan Thailand tidak lama lagi.

Airasia food yang dilancarkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mei 2020, merupakan satu platform penghantaran makanan yang lancar tanpa sebarang masalah serta berpatutan bagi peniaga kerana ia berdasarkan model kadar rata yang bersamaan dengan hanya 10 peratus kadar komisen.

Menurutnya, ketika ini, kadar komisennya adalah yang terendah dalam pasaran kerana bayaran komisen platform lain adalah dalam jajaran antara 15 peratus dan 30 peratus, dan airasia food adalah satu-satunya platform yang menawarkan kadar rata.

Peniaga juga mudah untuk mengawal menu serta harga mereka dan menerima liputan penghantaran sehingga 60 kilometer berbanding liputan 15 kilometer oleh platform pesanan makanan lain.

Riad berkata, walaupun terdapat penyedia perkhidmatan yang lama berada dalam pasaran, airasia food percaya pasaran cukup besar untuk mengisi satu lagi alternatif yang memiliki kelebihan tersendiri.

Menurutnya, airasia food menyediakan penawaran kompetitif kepada peniaga yang boleh membantu mereka secara langsung dan tidak langsung bagi meraih pulangan lebih tinggi dengan kos rendah, yang seterusnya memberi manfaat kepada pelanggan mereka.

Sebagai satu daripada perniagaan di bawah aplikasi airasia.com Asean, airasia food disokong oleh ekosistem airasia.com yang memiliki 60 juta pengguna yang boleh memperoleh mata dan membayar dengan BIG Points mereka, katanya.

“Kelebihan bagi peniaga yang menyertai kami adalah dari segi asas struktur kukuh, termasuk daripada perspektif teknologi dan pelanggan. Peniaga kini akan mendapat potensi pendedahan kepada sehingga 60 juta pelanggan dalam ekosistem kami,” katanya.

Mengenai prospeknya, Riad berkata jualan meningkat semasa perintah kawalan pergerakan tetapi perniagaan itu akan kekal relevan pada masa depan walaupun selepas adanya vaksin kerana teknologi membantu orang ramai memenuhi keperluan mereka dengan cara yang sangat mudah.

“Sekiranya anda memberikan produk yang betul yang dimahukan oleh orang ramai dan sentiasa meningkatkan perniagaan dengan inovasi, sudah tentunya anda akan dapat mengekalkan perniagaan bagi tempoh yang lama.

“Pertumbuhan airasia food bukan sahaja membantu perniagaan makanan tempatan, tetapi juga membawa kesan limpahan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Source link

Leave A Reply
Bitcoin (BTC) RM262,676.42
Ethereum (ETH) RM10,230.80
Tether (USDT) RM4.22
BNB (BNB) RM2,347.01
USDC (USDC) RM4.22
XRP (XRP) RM2.25
BUSD (BUSD) RM4.23
Cardano (ADA) RM1.48
Solana (SOL) RM603.99
Dogecoin (DOGE) RM0.46376
Polkadot (DOT) RM17.60
Polygon (MATIC) RM1.61
Lido Staked Ether (STETH) RM10,228.82
Shiba Inu (SHIB) RM0.000074
Dai (DAI) RM4.22
TRON (TRX) RM0.661134
Avalanche (AVAX) RM110.85