Saarani Mohamad berkata Umno Perak menyokong 100% kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai presiden parti itu untuk penggal akan datang.
KUALA LUMPUR: Ketua Umno Perak Saarani Mohamad yakin akan ada pelapis untuk menjawat jawatan naib presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu jika Ahmad Zahid Hamidi kekal sebagai presiden.
Menteri besar Perak berkata, perubahan bukan saja akan berlaku di peringkat nasional malah yakin berlaku juga di negeri itu.
“Saya percaya Zahid ada perancangan dia jika kekal sebagai presiden.
“Sudah pasti akan ada pemimpin-pemimpin pelapis,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Saarani berkata, Umno Perak menyokong 100% kepimpinan Zahid untuk kekal sebagai presiden parti itu bagi penggal akan datang.
Beliau berkata, Umno Perak juga menyokong jika jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun ini.
“Saya yakin kalau (ada) pertandingan itu, membuka perpecahan.
“Kalau ada tiga penjuru akan pecah sampai peringkat cawangan. Dalam suasana ini bagi presiden teruskan khidmat,” katanya.
Semalam, sekumpulan ketua bahagian Umno menyeru jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Kumpulan itu berkata, Umno pada saat ini perlu diperkukuhkan menjelang PRN akan datang, dan memohon Zahid mempertimbangkan hal itu.
Mereka mendakwa mewakili 140 ketua bahagian, namun yang kelihatan pada sidang media adalah lebih rendah.