Akaun dibeku SPRM, Aman Palestin fail semakan kehakiman

Sebelum ini, Aman Palestin memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap SPRM jika perintah pembekuan akaunnya tidak ditarik balik dalam tempoh tiga hari. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Aman Palestin memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan tindakan pembekuan 11 akaun banknya, tahun lalu.
Dalam permohonan NGO itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi, semalam, menerusi peguam cara Law Practice of Rafique, pihaknya memohon penarikan pembekuan tersebut pada dibuat 24 Nov, mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram.
NGO berkenaan juga memohon perintah mandamus daripada mahkamah terhadap pembekuan RM11 juta dalam akaun banknya ditarik balik serta merta.
Aman Palestin juga memohon SPRM dan pegawainya meminda arahan pembekuan di bawah akta tersebut supaya dana terbabit dapat digunakan bagi perbelanjaan harian, pembayaran gaji, kos pentadbiran, dan bantuan kepada rakyat Palestin selama tiga bulan akan datang.
NGO itu juga memohon pengisytiharan membenarkannya mengutip derma awam bagi membantu mangsa perang Hamas-Israel tanpa campur tangan SPRM, termasuk bayaran ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan bersesuaian oleh mahkamah.
Aman Palestin berkata, ia mengambil tindakan kerana beranggapan perintah pembekuan tidak sah, tidak rasional, tidak munasabah, dan salah guna kuasa.
Mereka menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM Zamri Zainul Abidin, dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Sebelum ini, Aman Palestin memberikan tempoh tiga hari kepada SPRM pada Disember untuk membatalkan pembekuan bank akaunnya, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan SPRM berisiko berdepan tindakan undang-undang.
Mengulas perkara terbabit ketika itu, Azam berkata, pihaknya bersedia mempertahankan tindakan dibuat di mahkamah.
SPRM membekukan 41 bank akaun milik Aman Palestin dan beberapa syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15.8 juta terhadap siasatan salah guna RM70 juta.
Siasatan berkenaan berkait dakwaan Aman Palestin menyalurkan wang kepada syarikat dipersoal.
Kes itu disiasat di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dan Kanun Keseksaan.

Source link

akaun bankAman PalestinbekumahkamahSemakan Kehakimansprm
Comments (0)
Add Comment