Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata perdana menteri buat keputusan menaikan jumlah itu lebih awal, walaupun ia patut dikaji setiap lima tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kerajaan pusat menambah pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak masing-masing kepada RM600 juta bermula tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata peningkatan daripada RM300 juta itu diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2024, petang tadi, di Kota Kinabalu.
Menurut Berita Harian, Fadillah berkata peningkatan bayaran interim itu sepatutnya diumumkan pada Belanjawan 2025, namun perdana menteri membuat keputusan mengumumkan lebih awal.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor; Premier Sarawak, Abang Johari Openg; Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan; Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick, dan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang.
Fadillah berkata, pembayaran khas interim kepada Sabah dan Sarawak sepatutnya dikaji setiap lima tahun, namun perdana menteri membuat keputusan menaikkan jumlah itu lebih awal.
“Sabah dan Sarawak menerima dengan hati terbuka kenaikan jumlah itu, tetapi kita masih mencari jalan untuk mendapatkan formula bagi pembayaran khas untuk kedua-dua negeri.
“Apa yang penting kita ucap terima kasih sebab ada kenaikan, ia lebih untuk membantu Sabah dan Sarawak…bagaimana (peruntukan itu) digunakan terserah kepada Sabah dan Sarawak,” katanya.
Source link
Next Post