Pengarah APMM Sarawak, Kamal Ariffin Jusoh berkata Bot Pengawal 42 bersama tujuh anggota dihantar untuk melakukan operasi mencari dan dibantu sebuah pesawat tentera udara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat sebuah bot pancing yang dinaiki lapan individu yang dilaporkan hilang di perairan Kuching, Sarawak sejak Khamis lalu.
Pengarah APMM Sarawak, Kamal Ariffin Jusoh berkata pihaknya menerima laporan kehilangan bot bersama tiga kru dan lima pemancing yang berusia 17 hingga 67 tahun itu pada jam 5 petang semalam, lapor Berita Harian.
“Mereka menaiki sebuah bot pancing yang bernombor pendaftaran QKH 9848 Z dan keluar ke laut dari Jeti Semariang Batu kira-kira 9 pagi, Khamis lalu.
“Menurut maklumat yang diterima daripada salah seorang anak mangsa, mereka sepatutnya pulang ke jeti pada Khamis pada jam 2 petang,” katanya.
Kamal berkata, Bot Pengawal 42 bersama tujuh anggota dihantar untuk melakukan operasi pencarian di lokasi dalam radius 100 batu nautika persegi.
“Memasuki pencarian pada hari kedua, hari ini luas sektor lokasi pencarian adalah 533.80 batu nautika persegi.
“Pesawat CN325 daripada Tentera Udara turut membantu melakukan pemantauan dari udara,” katanya.
Source link