Sejak mula diperkenalkan pada 2012, Art of Speed (AOS) merupakan acara yang dibayangi oleh budaya ubahsuai custom yang lebih berat ke arah Hot Rod dan Chopper gaya Amerika Syarikat.
Namun sebagai acara yang berpusat di Malaysia, tidak boleh tidak acara ini turut perlu mengketengahkan genre yang popular di kalangan peminat modifikasi tempatan iaitu Model Domestik Jepun (Japan Domestic Model atau JDM).
Sebenarnya model-model JDM dalam AOS ini anda boleh jumpa sejak dari edisi pertama penganjurannya menerusi model-model Old School yang dibawa oleh BWB. Manakala beberapa tahun kebelakangan ini, AOS turut mendapat sokongan dari No Equal untuk membawa model-model JDM era 90’an dan awal millenium menerusi ruangan Neat Fest.
Pelbagai model JDM yang boleh anda temui dipamerkan diruangan Neat Fest tersebut ketika berlangsungnya AOS 2024 di MAEPS hujung minggu lalu, antaranya pelbagai Civic yang disumbat dengan enjin K20 dan pengecas turbo, pelbagai Toyota Supra, Nissan Skyline GT-R, Lancer Evolution dan pelbagai lagi.
Dan antara yang istimewa boleh anda temui adalah Honda Civic generasi ke kelima dalam varian badan Coupe dua-pintu, sepasang Porsche RWB sebenar yang dibina oleh Akira Nakai ketika kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.
Qartel juga ada mempamerkan dua buah Honda istimewa iaitu Civic EK dengan enjin siri K dan panel badan hampir kesemuanya menggunakan gentian karbon, serta sebuah S660 yang sarat dengan peralatan Mugen.
Manakala di ruangan BWB, terdapat pelbagai model yang agak sukar untuk kita temui seperti Nissan Skyline generasi C10 dan C110, Mazda RX3, Nissan Fairlady Z generasi pertama dan lain-lain.
Ada juga bengkel-bengkel dan pemilik persendirian yang membawa model-model JDM Old School seperti Datsun Sunny Truck (Sanitora), Toyota Celica generasi pertama, Datsun Sunny California B310 wagon dan macam-macam lagi.
Kebanyakkan model-model JDM Old School ini tampil dengan gaya Kyushu Kai, tetapi ada yang lebih berani hadir dengan tema Bosozoku yang lebih liar, dilengkapi paip ekzos ‘tembak bulan’, overfender serta rim melampau lebar dan sebagainya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.