PENGELUAR produk minuman tempatan berasaskan sarang burung jenama Aafyawalet, Elza Prima Wellness Plt menyasar 250,000 botol minuman terbabit terjual menjelang tahun kedua ia dipasarkan pada tahun ini, peningkatan lebih sekali ganda berbanding rekod jualan tahun lalu.
Pengasas bersamanya, Suhaiza Hussin berkata, produk itu yang mula dipasarkan pada 1 April 2020 sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa menyaksikan sambutan di luar jangkaan apabila pengeluaran pertama berjumlah 5,000 botol habis dijual dalam tempoh tidak sampai dua bulan.
Susulan itu, jumlah pengeluaran dipertingkat kepada 10,000 botol sebulan yang turut memperlihatkan ia habis terjual setiap bulan pada tahun pertama Aafyawalet diperkenalkan.
“Tahun pertama produk ini dipasarkan pada 2020 menjadi asas kepada kami untuk memberi penekanan sepenuhnya terhadap penjenamaan Aafyawalet meliputi apa saja platform termasuk media cetak, elektronik dan internet.
“Sangat mengejutkan apabila jumlah jualan yang direkodkan cukup tinggi melangkaui sasaran sedangkan minuman sarang burung kami masih baharu di pasaran apa lagi diperkenalkan pula ketika tempoh PKP.
“Dengan pelbagai usaha penjenamaan yang masih berterusan disokong oleh rancangan menambah bilangan ejen menjadi 1,000 berbanding kira-kira 130 ketika ini, kami optimis jualan akan meningkat lebih sekali ganda menjelang akhir 2021,” katanya.
Mengulas lanjut, Suhaiza berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha merealisasikan hasrat menembusi pasaran luar terutama negara Timur Tengah biarpun sedar pandemik Covid-19 mungkin menjejaskan usaha terbabit.
“Alhamdulillah, pemasaran secara dalam talian memberikan pulangan yang sangat baik, tapi kami yakin jualan secara offline juga mempunyai kekuatan tersendiri.
“Justeru, apabila keadaan pandemik beransur pulih nanti, antara langkah pertama kami adalah untuk menguatkan jenama Aafyawalet di pasaran offline, sekali gus meneroka peluang yang wujud untuk pergi lebih jauh.
“Ini termasuk mengeksport Aafyawalet antaranya ke negara Timur Tengah dalam jangkaan tiga tahun lagi, namun tentunya kami tidak menolak jika peluang datang lebih awal,” katanya.