Peminat muzik emo di Malaysia bakal dikejutkan dengan berita menggembirakan apabila band terkenal dari Bandung, Indonesia, for Revenge akan mengadakan konsert sulung mereka di Kuala Lumpur. Konsert bertajuk “Perayaan Patah Hati Babak 1: Kuala Lumpur” ini akan berlangsung pada 6 Disember 2024 di Zepp Kuala Lumpur.
Band yang dianggotai oleh Boniex Noer (vokalis), Arief Ismail (gitaris), Izha Muhammad (bassist) dan Ari Pribadi (drummer) ini akan membawakan lagu-lagu hit mereka termasuk “Serana”, “Jakarta Hari Ini” dan “Untuk Siapa?” yang telah mencalonkan mereka dalam kategori Duo/Kumpulan/Kolaborasi Pop Terbaik di Anugerah Musik Indonesia (AMI).
Konsert yang dianjurkan oleh Miebird Projects ini turut menampilkan persembahan istimewa dari band tempatan yang sedang meningkat naik, Insomniacks.
Manakala bagi peminat yang ingin bertemu dengan band kesayangan mereka, pakej Meet & Greet ditawarkan pada harga RM258 yang termasuk pas istimewa dan poster.
for Revenge yang ditubuhkan pada 2006 telah menghasilkan beberapa album termasuk Fireworks (2010), Second Chance (2013), dan Auristella (2019). Terbaru, mereka telah mengeluarkan single “Sadrah” yang merupakan prolog kepada album baharu mereka yang akan datang, Perayaan Patah Hati – Babak 2.
Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi ILLASOTICKETS.COM. Untuk maklumat lanjut, peminat boleh mengikuti akaun media sosial Miebird Projects di Instagram, TikTok, Facebook dan X (Twitter).