Banduan maut di Penjara Taiping: ‘Kita selesai satu persatu’, Saifuddin beritahu Suhakam

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya akan mempermudah pegawai Suhakam soal siasat insiden banduan mati akibat dipukul. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah diberi tarikh untuk pegawainya menyoal siasat seorang banduan berkait kes kematian tahanan Penjara Taiping dipercayai dipukul, bulan lalu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ketua pengarah Jabatan Penjara sudah menghubungi dua pegawai terbabit untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat.

“Dua anggota Suhakam sudah dihubungi ketua pengarah Jabatan Penjara dan dalam masa terdekat akan ada pertemuan seperti yang dilapor.

“Apakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Penjara ‘tutup pintu’, jawapannya tidak. Jawatankuasa Pilihan Parlimen, Jawatankuasa Hak Asasi dan Keselamatan telah panggil KDN, kalau KDN nak sembunyi kami tak payah pergi tapi kami pergi,” katanya menurut Berita Harian, di Padang Serai.

Pada 27 Jan, polis Perak merekodkan keterangan 82 individu termasuk dua pegawai penjara susulan dakwaan kes puluhan banduan di Penjara Taiping dipukul dan dibelasah hingga menyebabkan seorang banduan mati.

Saifuddin ketika mengulas lanjut, berkata Jabatan Penjara juga telah memberi kerjasama penuh kepada polis.

“Polis sudah masuk siasat, Jabatan Penjara bagi kerjasama penuh, kemudian Suhakam tulis minta jumpa jadi kita kata kita selesai satu persatu.

“Kita tentukan tarikh dan telah maklumkan, saya sendiri sudah dihubungi Pengerusi Suhakam Mohd Hishamudin Yunus dan maklumkan saya akan permudahkan pertemuan itu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoal tindakan Suhakam membuat kenyataan mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan.

“Suhakam boleh tunggu tarikh itu, tapi dia memilih untuk buat kenyataan, saya harap akhir pertemuan itu Suhakam boleh keluar kenyataan sudah diberi kerjasama (Jabatan Penjara), itu lebih cantik dan baru jernih sikit,” katanya.

Semalam, dilaporkan Suhakam mendakwa Jabatan Penjara menghalang pihaknya menjalankan siasatan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia di Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Batu Gajah.

Pada masa sama, Suhakam menyuarakan kebimbangan terhadap halangan didakwa dihadapi pegawainya ketika menjalankan siasatan rasmi mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia membabitkan banduan di Penjara Taiping, pada 17 Jan.

Source link

banduanKDNSaifudin Nasution IsmailsiasatanSuhakam
Comments (0)
Add Comment