PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail digesa mengemukakan bukti dalam isu unsur nadir bumi (REE) ke mahkamah, bukan pentas ceramah politik.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sanusi Nor menyifatkan tindakan setiausaha agung Pakatan Harapan dan PKR itu hanya membina naratif serta persepsi terhadap beliau ketika kempen PRN.
Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata ketika ini tiada bukti kukuh dikemukakan Saifuddin berkaitan REE.
“Tak dak bukti apa pun, bukti kalau ada kes kan, apa-apa kes bukti bawa ke mahkamah, tak payah dilontar di pentas ceramah, itu bukan kerja yang betul. Saya tak pernah buat kerja macam tu, bawa ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas program santai petang bersama panglima dan kapten di Medan Gurun Jaya, menurut Sinar Harian.
Sanusi berkata, pendedahan Saifuddin dengan dokumen yang dikemukakan menyebabkan dirinya semakin banyak “terkantoi”.
Sebelum ini Saifuddin dilaporkan berkata, beliau mempunyai lebih banyak bukti dan pendedahan terhadap penyandang kerusi DUN Jeneri itu.
Saifuddin turut menggesa Sanusi menjelaskan lawatannya ke Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, pada 19 Feb lalu, yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti perlombongan haram REE.
Beliau meminta penjelasan selepas mendedahkan beberapa gambar lawatan itu.
Selain itu, Saifuddin turut menyoal kekurangan kertas siasatan yang dibuka berkaitan aktiviti perlombongan haram walaupun Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Kedah, Md Shumaime Abdul Rahmah, adalah ahli lembaga penasihat Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah.
Sementara itu, Sanusi memberi amaran supaya tidak mencabarnya mengemukakan bukti bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan ahli perniagaan Indonesia, Riza Chalid memohon untuk mengusahakan REE.
“Pergilah buat kerja KDN (Kementerian Dalam Negeri). Dia makan gaji RM70,000, RM80,000 kan, ambil tahu REE saja, KDN berlambak lagi tugasan,” katanya.
Source link