Bekas ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan Mohd Fared Abdul Ghani dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan kepada seorang lelaki, 6 Jan lalu.
Tertuduh, Mohd Fared Abdul Ghani, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri, menurut Berita Harian.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak membunuh seorang lelaki berusia 40 tahun sambil memegang sebilah pisau.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas lelaki sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di depan Kedai Nasi Lemak Dusun Muda, dekat Kampung Langgar, Kota Bharu, kira-kira 10 malam, 6 Jan lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Azahir Surainie & Azizan Ariff.
Terdahulu, Aiman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.
Peguam tertuduh bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya itu berusia 56 tahun dan mempunyai empat anak.
Katanya, Fared yang memberi kerjasama baik turut menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan paru-paru lemah serta perlu menjalani pemeriksaan berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.Stay current – Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mahkamah turut menetapkan 15 Mei ini sebagai sebutan semula kes.
Source link
