PELANGGAN perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Agrobank beralih kepada e-dagang untuk mengekalkan perniagaan mereka dan menyesuaikan kepada normal baharu yang tidak dapat dielakkan.
Agrobank dalam kenyataan berkata, penting bagi PKS untuk meneroka platform digital atau dalam talian sebagai alternatif untuk menjalankan urus niaga perniagaan.
Ia terutama dalam menghadapi kemungkinan sebarang krisis yang mungkin berlaku dalam negara atau di peringkat global, seperti yang dialami ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan.
Mazlina Kamaruddin, antara usahawan yang mendapat sokongan Agrobank berkata, tempoh PKP dilihat sukar kepada usahawan untuk bertahan dan menjalankan perniagaan mereka terutama apabila pelbagai sekatan dan garis panduan dikenakan untuk memerangi pandemik itu.
“Kami segera mencari alternatif yang akan membolehkan kami meneruskan aktiviti perniagaan, di samping mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata Pengarah Urusan Bismi Cergas Sdn Bhd itu.
Dia berkata demikian pada sesi dialog, Usahawan Agro Selepas PKP – Penyesuaian dan Pemulihan di Facebook Agrobank, kelmarin.
Sementara itu, Pengarah Urusan MHP Enterprise Sdn Bhd Musleha Zainuddin berkata, sepanjang tempoh PKP, beliau terpaksa menyusun semula strategi perniagaannya dengan meneroka pasaran dalam talian untuk menjual makanan tradisional dan snek.
Pada masa ini katanya, pihaknya mencari produk lain yang boleh dibekalkan kepada pengguna untuk memenuhi keperluan mereka.
“Pada awal PKP, kami cuba beroperasi seperti biasa dari rumah dan menawarkan produk makanan untuk dihantar kepada pengguna kami, tetapi kami perlu meneroka pasaran e-dagang dan menyedari ia mempunyai kelebihan tersendiri dengan akses yang mudah untuk pengguna,” katanya.
Kedua-dua usahawan itu dapat belajar dengan cepat untuk mempelbagaikan pilihan produk mereka.
Pada masa sama, Agrobank mengambil langkah untuk memberi bimbingan perniagaan dengan lebih banyak pengetahuan mengenai e-dagang dan perniagaan dalam talian, seperti mengajar mengenai kemahiran pemasaran dalam talian dan menulis iklan.
Agrobank, sebagai peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai, akan mengetengahkan usahawan agro PKS yang berjaya, video mengenai bagaimana PKS dalam perniagaan tani menghadapi perubahan berikutan Covid-19, sesi bimbingan, forum dan promosi produk berkaitan PKS, melalui pelbagai platform dalam talian dan media sosial bank itu.