PAC akan membentangkan laporan kemajuan projek LCS dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.
PETALING JAYA: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Pertahanan dan TLDM menggunakan dana secara berhemah dalam menyiapkan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS).
Menurut syor dinyatakan dalam laporan PAC berhubung kemajuan projek LCS bagi tempoh Jun hingga September dikeluarkan hari ini, jawatankuasa itu berkata ia perlu mengutamakan keperluan dan tidak membazir dalam menyiapkan projek berkenaan.
“Kementerian Kewangan perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memastikan tiada pembaziran wang rakyat dalam projek pembinaan LCS,” menurut laporan setebal 117 muka surat itu.
Laporan itu juga mendedahkan pembinaan kapal LCS yang dikurangkan daripada enam kepada lima juga mengalami pertambahan kos sebanyak RM2.098 bilion daripada kos asal keseluruhan RM9.128 bilion.
Dalam pada itu, PAC turut mengesyorkan Kementerian Pertahanan membentangkan laporan kemajuan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) mengikut pengurusan projek antarabangsa, selain tidak terhad kepada laporan fizikal dan kewangan.
PAC juga bersetuju supaya Kementerian Pertahanan membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga ia siap.
“Namun PAC akan membentangkan laporan kemajuan projek LCS dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan,” menurut syor dinyatakan PAC dalam laporan itu.
Dalam pada itu, PAC dalam beberapa siri lawatan ahli jawatankuasa ke tapak pembinaan LCS di Lumut, dengan terbaharu pada 5 Okt mendapati terdapat kelewatan -0.07% dalam kerja pembinaan berbanding perancangan asal.
“Bagaimanapun, BNS (Boustead Naval Shipyard) dan TLDM memberi jaminan bahawa kelewatan berkenaan tidak menjejaskan garis masa keseluruhan bagi penyerahan kapal LCS kepada TLDM,” menurut laporan itu.
Selain PAC, projek LCS dipantau empat jawatankuasa pemantau iaitu jawatankuasa teknikal di peringkat pasukan projek; Project Management Review (PMR) (pasukan teknikal projek di Kementerian Pertahanan).
Jawatankuasa Kerja dipengerusikan oleh TKSU (Pembangunan) Kementerian Pertahanan; dan Project Monitoring Committee (PMC) dipengerusikan secara bersama oleh KSU Kementerian Pertahanan dan ketua setiausaha Perbendaharaan.
Related Posts