Kuala Lumpur : Yayasan Bank Rakyat dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menganjurkan, Bizz Hall 2020 sebagai pelan strategik bagi membantu usahawan mendapat khidmat nasihat, latihan dan pelbagai fasiliti di bawah Medac.
Kajian oleh SME Corp baru-baru ini mendapati kira-kira 170,000 usahawan PKS dan mikro di seluruh negara terjejas akibat Covid-19 dan mengakibatkan 8.85 peratus perniagaan gulung tikar.
Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, penganjuran Biz Hall 2020 ini dijangka dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro yang terkesan dengan Covid-19 serta memulihkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Saya berharap agar usahawan bijak mencari peluang dalam suasana ekonomi yang sukar ini dengan memanfaatkan setiap peluang disediakan kerajaan khususnya Medac dan agensi yang sentiasa peka dengan kehendak dan keperluan usahawan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Penganjuran Biz Hall 2020 ini diharap mampu memberi kelegaan kepada usahawan PKS dan mikro untuk meneruskan perniagaan dalam tekanan ekonomi yang sangat mencabar serta dapat membuka peluang kepada bantuan yang disediakan oleh pelbagai agensi di bawah Medac.
Sokongan kepada usahawan juga perlu diberikan secara berterusan dengan menggalakkan mereka menimba ilmu pengetahuan selain membuka peluang baharu agar mereka boleh mengembangkan perniagaan.
Program ini bakal diadakan di Dewan Sri Iskandar, Setiawangsa Kuala Lumpur pada Ahad, 27 September bermula jam 9 pagi sehingga 5 petang.
Sementara itu, pelakon popular yang juga pemilik Rosyam ST Mart, Datuk Mohamed Noor Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Rosyam Nor akan bertindak sebagai moderator.
Bagi usahawan yang berminat menyertai Biz Hall, boleh menghubungi sekretariat di talian 012-3665400 (Norhaziqah Radzi) dan 012-3382246 (Haziqah Hazemi).