Operasi SAR masuk hari ke-4 hari ini bagi mengesan sembilan lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan di Batang Kali.
PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menafikan memberi kebenaran kepada mana-mana pasukan sukarelawan awam atau individu untuk membantu menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh di Batang Kali.
Pusat Gerak Operasinya dalam satu kenyataan menjelaskan, hanya anggota dan agensi menyelamat yang terlatih sahaja dibenarkan berada di kawasan operasi zon merah, selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Anggota dan agensi itu adalah JBPM, polis, tentera, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Tiga aspek utama diambil kira untuk anggota terbabit iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan.
“Dengan keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut dan jika hujan, berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah kenyataan itu lagi, situasi berkenaan memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan bagi menghadapi keadaan sukar dan tidak dijangka.
“Oleh sebab itu, kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di sini,” katanya.
Kenyataan itu susulan tular satu gambar yang menunjukkan sekumpulan sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO) yang memasuki kawasan bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, pada Jumaat.
Operasi SAR masuk hari ke-4 hari ini bagi mengesan sembilan lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.