KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan liputan mandatori untuk pekerja bukan warganegara sebagai usaha memastikan semua pekerja mendapat akses kepada perlindungan sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata inisiatif itu bertujuan meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memberikan perlindungan sosial kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan selaras piawaian antarabangsa
“Ketika ini, pekerja bukan warganegara mempunyai pilihan untuk menyumbang kepada KWSP secara sukarela. Dengan dasar baharu ini, lebih dua juta pekerja bukan warganegara di Malaysia dijangka mendapat manfaat,” katanya dalam kenyataan.
KWSP akan mengumumkan maklumat lanjut mengenai kadar caruman, golongan sasar utama, dan mekanisme pelaksanaan dasar pada masa sesuai.
Dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan merancang mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum ke dalam KWSP, yang akan dilaksanakan secara berfasa.
KWSP menyambut baik kelulusan kerajaan untuk meningkatkan program i-Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15% kepada 20%, dengan maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup RM5,000 bagi setiap individu.
Penambahbaikan itu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Jan 2025, dijangka memberi manfaat kepada lebih 330,000 peserta i-Saraan sedia ada dan baharu.
Kenyataan itu memaklumkan pada separuh pertama tahun ini, program i-Saraan merekodkan jumlah caruman RM1.61 bilion daripada 330,196 ahli, mencatatkan peningkatan 103% berbanding RM789.3 juta serta peningkatan 56% dalam bilangan ahli daripada 211,361 dalam tempoh sama pada 2023.
“Sebagai penghargaan terhadap sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, kadar insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50% daripada jumlah caruman tahunan akan dilanjutkan pada 2025,” menurut kenyataan itu.
KWSP memaklumkan inisiatif itu tertakluk kepada had maksimum insentif padanan kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup atau mencapai umur 55 tahun, mana-mana terdahulu.
Source link