KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan keyakinan dan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada perdana menteri yang baru dilantik, Muhyiddin Yassin.
Presidennya Adnan Mat berkata penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan untuk terus memajukan negara ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan berkesan dan berkualiti kepada rakyat dan negara.
“Walaupun kerajaan datang dan pergi bersilih ganti namun perkhidmatan awam tetap kekal setia dalam neutraliti meneruskan khidmat menjaga kesejahteraan negara secara menyeluruh di bawah payung institusi raja.
“Oleh itu, Cuepacs dan penjawat awam akan terus memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan berkesan kepada rakyat dan negara bersandarkan teras taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Sultan Ahmad Shah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhyiddin yang juga presiden PPBM hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.
Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia sebagai perdana menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini pada 10.33 pagi.
Source link