PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menjelaskan perubahan cuti hujung minggu yang kembali kepada Sabtu dan Ahad di negeri itu bermula 1 Jan tahun depan diputuskan mengikut kehendak rakyat.
Tunku Ismail berkata pertimbangan itu dibuat berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, selain kesan ekonomi positif seiring pelaksanaan projek pembangunan memanfaatkan negeri.
“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya.
“Dengan izin dan restu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, pandangan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor, kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat, maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad,” titahnya di Facebook.
“Jika ada pihak kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu.”
Pada 7 Okt lalu, Tunku Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di Johor akan kembali kepada Sabtu dan Ahad mulai 1 Jan tahun depan.
Susulan itu, baginda berharap semua syarikat swasta, kerajaan dan pihak berkaitan akan memberi ruang dan masa mencukupi untuk pekerja Muslim menunaikan solat Jumaat pada waktunya.