PENGUSAHA rangkaian Restoran Gamelan, TG Jie & Sons Enterprise menyasar memberi tumpuan kepada perniagaan berasaskan virtual kitchen atau dapur maya sekiranya cawangan pertama konsep baharu itu yang akan dibuka di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada bulan depan membuahkan kejayaan.
Pengurus Pembangunan Perniagaannya, Muhammad Syafiq Othman berkata, ketika ini perniagaan restoran yang menyajikan aneka juadah khususnya makanan Terengganu itu masih diteruskan seperti biasa membabitkan dua lokasi di Selangor iaitu Ara Damansara (Oasis Square) dan Glenmarie (Dataran PHB).
Bagaimanapun, katanya, pihaknya cuba meneroka konsep virtual kitchen yang dilihat lebih mesra kos dengan fokus kepada perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran saja tanpa servis makan di premis.
“Ketika memulakan operasi Restoran Gamelan pada 2011, kami menyajikan nasi campur dan pada masa sama turut mengetengahkan makanan popular Terengganu untuk pelanggan memandangkan ia antara masakan yang kami mahir.
“Kemudian sekitar 2014, kami memutuskan untuk memfokuskan makanan Terengganu dengan tidak mengetepikan makanan lain khususnya lauk-pauk tengah hari yang sinonim dengan lidah tempatan.
“Kini, kami cuba meneroka peluang membuka virtual kitchen yang mungkin agak baru untuk kita, tetapi restoran ternama dan antarabangsa sudah mula mengadaptasikannya di mana ia berkeluasan sekitar 600 kaki persegi saja, tidak menyediakan tempat makan buat pelanggan, hanya dapur untuk memasak dan kaunter pembayaran.
“Insya-Allah jika konsep ini berjaya untuk cawangan pertama virtual kitchen Restoran Gamelan di Bukit Kiara mungkin selepas ini fokus pembangunan perniagaan lebih kepada memperbanyak virtual kitchen dengan tumpuan utama di sekitar Lembah Klang,” katanya.