Pempengaruh berusia 20-an itu yang juga usahawan muda satu-satunya pemandu kereta ditahan dalam operasi di Lebuhraya Tun Dr lim Chong Eu, Bayan Lepas kerana melakukan aksi ‘drift’ di jalan raya. (Gambar PDRM)
BALIK PULAU: Lima belas lelaki, termasuk seorang pempengaruh TikTok yang juga usahawan muda ditahan atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam operasi di Lebuhraya Tun Dr lim Chong Eu, Bayan Lepas dari 1 pagi hingga 12 tengah hari semalam.
Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata pempengaruh 20-an itu satu-satunya pemandu kereta ditahan semasa melakukan aksi “drift” di jalan raya, manakala 14 lagi ditahan kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.
“Enam daripada 14 penunggang yang ditahan berumur 12 hingga 17 tahun, dengan tiga daripadanya masih bersekolah, manakala sembilan lagi berumur 18 hingga 25 tahun,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, semuanya direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Bernama melaporkan 15 lelaki, termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ditahan dalam operasi itu, selain menyita 14 motosikal dan sebuah kereta untuk siasatan lanjut.
Source link