PETALING JAYA: Pandemik Covid-19 melanda global empat tahun lalu mengubah kecenderungan pengguna daripada membeli belah secara fizikal kepada ‘kedai maya’ menerusi platform e-dagang.
Pembabitan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor e-dagang melonjak sehingga 70% sepanjang tempoh itu, mengikut data sebuah syarikat peneraju e-dagang.
E-dagang memainkan peranan penting dalam menyokong PMKS untuk mendigitalkan operasi mereka dan merealisasikan potensi penuh mereka.
Dengan memanfaatkan platform e-dagang, PMKS dapat mencapai pasaran yang lebih luas, meningkatkan kecekapan operasi dan mengurangkan kos.
Ini bukan sahaja membantu mereka berkembang, tetapi juga merangsang ekonomi secara keseluruhan.
Peningkatan dalam aktiviti perniagaan membawa kepada penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan, dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Dengan kata lain, e-dagang adalah pemangkin utama dalam transformasi digital PMKS dan pertumbuhan ekonomi.
E-dagang rapat jurang industri kecil dan pelanggan
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata platform e-dagang antara medium terbaik untuk mengurangkan jurang antara perusahaan berskala kecil dan pelanggannya.
“E-dagang juga secara drastik mengurangkan kos itu,” katanya kepada FMT namun menegaskan PMKS perlu memainkan peranan menetapkan sasaran jelas dari segi nilai dan jangkauan pasaran jangka panjang.
Beliau turut berpandangan usaha meningkatkan potensi PMKS terutama di luar bandar juga perlu membabitkan kerjasama kerajaan dan e-dagang dengan memanfaatkan perancangan sedia ada seperti Program Pendigitalan Usaha (PPU).
Menerusi program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), RM1.7 juta diperuntuk tahun ini untuk membantu meningkatkan pendapatan 1,200 usahawan desa melalui pemerkasaan pendigitalan perniagaan.
Carmelo berkata inisiatif meningkatkan kemahiran itu dan kelebihan e-dagang dapat membantu meningkatkan PMKS ke peringkat seterusnya dan mewujudkan ekosistem perniagaan sesuai.
“Ini juga bagi memastikan keberadaan mereka dalam e-dagang tidak terhad untuk tempoh tertentu sebaliknya membantu membina perniagaan jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, dasar bagi e-dagang perlu diselaraskan untuk mewujudkan kesedaran mengenai kelebihannya, di samping memudahkan pertemuan perniagaan untuk penyatuan industri ke peringkat lebih baik.
Dari bilik kecil, Gun Pet kini raih RM30 juta
Pendapat Carmelo yang platform e-dagang menjadi ‘peralatan’ sesuai mendekati pelanggan itu disokong dengan kejayaan peniaga yang bermula dari bawah sehingga merekodkan jualan jutaan ringgit.
Antara seorang pengusaha makanan dan aksesori haiwan di bawah jenama ‘Gun Pet’ yang kini meraih pendapatan RM30 juta setahun sejak bernaung di sebuah peneraju e-dagang.
Bermula dengan modal RM2,000 dan beroperasi di sebuah bilik kecil ketika pandemik Covid-19, seorang anak muda dapat meningkatkan perniagaan yang berkembang dengan capaian pelanggan lebih meluas.
Perniagaan yang berkembang pesat membuatkan pengasas Gun Pet terpaksa berhenti kerja di sebuah syarikat minyak dan gas untuk menumpukan sepenuhnya kepada perniagaan menerusi e-dagang.
“Saya gembira dengan keputusan itu kerana bukan sahaja dapat keuntungan daripada perniagaan ini, tetapi mampu menyediakan makanan haiwan peliharaan, aksesori, dan produk lain lebih berkualiti dengan harga berpatutan kepada pemilik haiwan peliharaan.
“Pasukan kami juga telah berkembang bermula saya seorang kini menjadi lebih 30 kakitangan,” katanya.
Kini, Gun Pet antara pelopor dalam kategori haiwan peliharaan di platform e-dagang dengan merekodkan nilai jualan lebih RM30 juta setahun.
Gun Pet turut menggunakan kelebihan dalam fungsi penstriman langsung, yang menjadi antara pemacu utama jualan mereka dengan merekodkan pendapatan RM1.3 juta hanya dalam suku pertama tahun ini.
“Kejayaan ini didorong oleh ciri platform e-dagang termasuk penyertaan kempen yang konsisten dan sokongan pemasaran strategik.
“Ia menyediakan Gun Pet platform untuk menarik pembeli melalui jualan sosial dan menyediakan pengalaman yang lebih menarik untuk pembeli kerana mereka boleh berinteraksi secara langsung,” kata Gun Pet.