Tuah berpihak kepada Farhan Mustapha apabila dinobatkan sebagai juara edisi pertama program TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia 2024 yang berlangsung malam semalam di Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur.
Farhan, seorang penebar roti canai, sebelum ini pernah mencuba nasib dalam pelbagai pertandingan realiti nyanyian, antaranya Bintang RTM, Akademi Fantasia dan Mentor Milenia sebelum akhirnya berjaya meraih gelaran juara di pentas Gimme The Mic Malaysia.
Persembahannya yang memukau menerusi lagu “Sampai Mati” dan “Berhenti Berharap” berjaya menambat hati juri dan penonton. Mengungguli di kedua-dua pusingan, Farhan berjaya mendapat markah keseluruhan sebanyak 70.13% di pusingan pertama dan 70.57% di pusingan kedua.
Juri tetap program ini termasuk Ajai, Bunga Citra Lestari, Yuna, dan Hael Husaini, memberikan pujian tinggi kepada Farhan atas persembahannya yang luar biasa. Bunga Citra Lestari menyatakan bahawa Farhan mempunyai sikap dan personaliti yang sesuai sebagai seorang penyanyi profesional.
Sementara itu, kerusi ‘The Grand Six’ yang bakal membawa nama Malaysia ke pertandingan Gimme The Mic Global berjaya diisi oleh Jelly Belly (70.00%), Shazreen Shaharum (66.43%), Syaffiq Sahli (65.78%), Ameerais (65.38%) dan Bulan Asyraff (64.79%).
Selain itu, peserta Syaffiq Sahli turut mendapat anugerah Terpaling FYP Freedom Unleashed, serta Farhan Mustapha mendapat anugerah Gimme The mic Alha Alfa.
Sebagai juara, Farhan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah hampir RM30,000, termasuk RM10,000 daripada Astro, RM10,000 daripada Gimme The Mic Alha Alfa, dan AS$2,000 daripada TikTok. Selain itu, Farhan juga turut menerima trofi dan peluang untuk menerbitkan sebuah lagu ‘single’ tajaan Astro dan Rocketfuel.
Program Gimme The Mic Malaysia dikendalikan oleh pasangan pengacara Sherry Alhadad dan Sean Lee telah bersiaran secara lansung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur.