PETALING JAYA: Usaha Malaysia memerangi pemerdagangan manusia terjejas akibat isu kritikal dari segi amalan penguatkuasaan undang-undangnya, menurut seorang pakar hak asasi manusia dan antipemerdagangan manusia.
Corinne Dettmeijer memberitahu forum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa agensi penguatkuasaan undang-undang di sini mencampuradukkan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (Cedaw) di Geneva, yang disiarkan secara langsung dalam talian hari ini.
Dettmeijer yang juga bekas pelapor khas pemerdagangan manusia dan keganasan seksual terhadap kanak-kanak berkata, ini menjejaskan penguatkuasaan undang-undang antipemerdagangan manusia serta proses mengenal pasti wanita dan kanak-kanak yang diperdagang secara tepat.
“Malaysia telah meningkatkan usahanya dalam mendakwa kesalahan pemerdagangan manusia menerusi pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran,” katanya.
“Bagaimanapun, penguat kuasa undang-undang kerap menggabungkan pemerdagangan dengan penyeludupan migrain, seterusnya menjejaskan proses mengenal pasti dan melindungi mangsa pemerdagangan,” katanya.
Katanya, ini mengakibatkan individu terlibat dalam pemerdagangan manusia mengeksploitasi tenaga kerja seterusnya berdepan hukuman lebih rendah bawah Akta Pekerjaan 1955, berbanding hukuman lebih tegas diperuntukkan undang-undang antipemerdagangan manusia.
“Pemerdagangan dan penyeludupan orang adalah jenayah berbeza dengan kesan berbeza terhadap mangsanya. Penguatkuasaan berkesan memerlukan pemahaman jelas dan pembezaan antara kedua-duanya,” katanya.
Beliau turut membangkitkan isu korupsi dalam agensi kerajaan.
“Ada laporan bahawa pegawai kerajaan meraih manfaat hasil rasuah, selain pemerasan dan eksploitasi migran. Ini meningkatkan kos migrasi, seterusnya meningkatkan kemungkinan pekerja migran terdedah kepada pemerdagangan akibat terjerat hutang.
“Apakah langkah diambil Malaysia untuk menyiasat dan menangani dakwaan penglibatan pegawai awam dalam pemerdagangan manusia?” soalnya.
Perwakilan Malaysia yang menghadiri mesyuarat itu berkata, kerajaan komited menyiasat dakwaan berkenaan dan memperkukuh langkah antipemerdagangan.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Cedaw Bandana Rana mempersoal kod pakaian terhadap wanita Muslim di Malaysia.
“Pelapor khas bagi hak kebudayaan mengetengahkan impak kod pakaian de facto dikenakan terhadap Muslimah Malaysia dalam banyak konteks.
“Apakah langkah diambil untuk memastikan kod pakaian tidak diwajibkan dan wanita mempunyai kebebasan berpakaian seperti yang mereka kehendaki?” katanya, dengan menegaskan hak kebebasan berpendapat dan membuat pilihan bagi wanita mesti dilindungi.
Menjawab perkara itu, Zurshida Murni Abd Hamid dari Pejabat Peguam Negara berkata kerajaan tidak melaksanakan sebarang undang-undang berhubung kod pakaian.
“Walaupun ada garis panduan untuk memastikan kesopanan, kerajaan tidak mengenakan sebarang kod pakaian dari segi undang-undang untuk orang awam mahupun pejabat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kebebasan berpendapat termasuk dari segi berpakaian dilindungi mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Source link