Menurut Fahmi Fadzil, setakat ini terdapat 8.15 juta nombor mudah alih berada dalam tempoh kuarantin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Gangguan berkait nombor kitar semula “sangat kecil” apabila hanya 80 aduan atau 0.00016% daripada 49.4 juta jumlah langganan nombor mudah alih di negara ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Justeru, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk membatalkan dasar sedia ada yang menetapkan nombor yang pernah digunakan oleh pengguna lain atau tidak aktif, berada dalam senarai tempoh kuarantin atau “cooling off period” sekurang-kurangnya enam bulan sebelum boleh digunakan pengguna baharu.
“Walaupun langkah-langkah mengurangkan masalah dan risiko telah dilakukan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak dapat menegah bank atau sebarang perkhidmatan daripada menyimpan data peribadi pelanggannya untuk tempoh lama.
“Oleh itu, dalam menangani perkara ini pengguna baharu juga harus cakna untuk menyekat nombor telefon dengan menggunakan fungsi sedia ada yang terdapat di dalam telefon mudah alih,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta menteri menyatakan kemungkinan menetapkan dasar membatalkan terus nombor kitar semula bagi melindungi pengguna.
“(Jumlah aduan) Ia angka agak kecil. (Mengenai) tempoh ‘cooling period’ kita belum mempunyai cadangan untuk mengubah tapi kita akan ambil maklum pandangan dan akan teliti semula untuk tambah baik perkhidmatan ini,” kata Fahmi.
Tambahnya, setakat ini terdapat 8.15 juta nombor berada dalam tempoh kuarantin.
Katanya, amalan menggunakan nombor telefon lama dari tempoh kuarantin juga diamalkan di negara lain seperti Amerika Syarikat, Australia dan Singapura dengan masing-masing menetapkan 45 hari, enam bulan dan 90 hari “kuarantin”.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya pengguna baharu berdepan panggilan yang mengancam keselamatannya, mereka perlu membuat laporan polis segera atau melaporkan ke talian bantuan Pusat Respons Scam Kebangsaan, 997.