PETALING JAYA: Gereja St Ignatius dituntut secara tiba-tiba untuk merobohkan tempat letak kenderaan yang dibinanya di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, walaupun telah mendapat kebenaran pada 2012.
Notis daripada Pejabat Daerah Dan Tanah Petaling bertarikh 29 Okt yang dilihat oleh FMT mendakwa, tempat letak kenderaan itu dibina secara haram, suatu kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah negeri, rizab atau lombong tanpa kuasa yang sah.
Pihak gereja diberi masa 14 hari untuk mengosongkan tanah itu.
Joy Appukuttan, yang bertindak selaku peguam bagi pihak gereja memberitahu FMT, gereja St Ignatius menerima surat daripada jabatan itu pada 2012 yang menyatakan bahawa ia tiada bantahan terhadap pembinaan tempat letak kenderaan itu di sebidang tanah kecil tepi sungai yang terbiar di sebelah pekarangan gereja itu.
Bagaimanapun, Joy berkata, wakil daripada empat pihak, iaitu Pejabat Daerah Dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan kontraktor terlibat dengan tanah itu, menyampaikan notis kepada gereja pada 29 Okt.
“Sebelum ini, kami telah mendapat kebenaran (Jabatan Pengairan dan Saliran) untuk meratakan tanah dan menjadikannya tempat letak kenderaan,” kata Joy.
“Tindakan ini membuli gereja. Mengapa mereka tidak boleh mengadakan dialog dengan kami mengenai perkara itu, sebaliknya menyampaikan notis secara tiba-tiba?”
Joy berkata, beliau telah menghubungi Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin untuk mengadakan pertemuan antara pihak-pihak yang terlibat, termasuk gereja.