Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang juga saksi utama pendakwaan dicabar kredibilitinya kerana didakwa memberi keterangan bercanggah kepada SPRM dan di mahkamah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini diberitahu Lim Guan Eng bersetuju ahli perniagaan G Gnanaraja dijadikan pengantara dalam penyerahan wang kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.
Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 65, yang juga saksi utama pendakwaan, berkata beliau mengesyorkan Gnanaraja sebagai pengantara untuk penyerahan wang bagi mengelak dirinya dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Insiden itu berlaku pada 17 Ogos 2017, ketika saya berjumpa Lim di pejabatnya pada 7 malam. Saya memberitahu Lim bahawa Gnanaraja adalah orang Barisan Nasional (BN) yang baik dengan PM (perdana menteri ketika itu)…dan orang paling layak menjadi pengantara.
“Lagipun, pada masa itu saya dipantau SPRM dan risiko tinggi jika saya membuat pembayaran itu secara terus kepada Lim. Saya juga memerlukan pengantara sebab kemungkinan besar jumlah duit menjadi lebih banyak di masa akan datang untuk saya beri kepada Lim.”
Beliau berkata demikian semasa prosiding bagi mencabar kredibilitinya yang didakwa memberi keterangan bercanggah kepada SPRM dan di mahkamah berhubung kes penipuan Gnanaraja membabitkan RM19 juta berkaitan kes rasuah projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang respons Lim berkaitan cadangan itu, Zarul Ahmad menjawab: “YB Lim bersetuju dengan cadangan itu dan beliau kata akan ke Kuala Lumpur tidak lama lagi dan ingin berjumpa Gnanaraja.”
Selepas mendapat persetujuan Lim, beliau kemudian memaklumkan perkara itu kepada Gnanaraja melalui perbualan WhatsApp pada hari sama, iaitu 17 Ogos 2017.
Wan Shaharuddin: Apakah reaksi Gnanaraja? Zarul Ahmad menjawab “Gnanaraja memang suka sebab dia dapat berjumpa YB Lim”.
Ketika Wan Shaharuddin merujuk perbualan WhatsApp Zarul Ahmad menyatakan “good for us sir” dan Gnanaraja membalas “fantastic Dato”, saksi itu menjelaskan komunikasi itu mengenai beliau ada pengantara untuk memberi RM2 juta kepada Lim.
“Gnanaraja kemudian membalas WhatsApp saya serta menyatakan ‘fantastic Dato’ kerana dia (Gnanaraja) akan menjadi pengantara dan dapat berkawan dengan Lim.
“Selain itu, saya juga boleh menggunakan Gnanaraja sebagai pengantara pada masa akan datang dan untuk pembayaran RM2 juta ini.”
Prosiding mencabar kredibiliti saksi itu di depan Hakim Azura Alwi akan bersambung 2 Okt ini.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya menerima suapan RM3.3 juta bagi membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di pejabat ketua menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau dituduh meminta suapan 10% keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi projek sama dan perbuatan itu didakwa dilakukan dekat Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi Mac 2011.
Lim juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek sama, di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
Source link