Hajiji Noor (kiri) dan Shafie Apdal berkata, pengumuman oleh Anwar Ibrahim itu menunjukkan komitmen Putrajaya untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Hajiji Noor menyifatkan pengumuman Putrajaya membenarkan Sabah dan Sarawak menentukan pelaksanaan projek prasarana di bawah RM50 juta sebagai satu lagi berita baik buat negeri itu.
Ini menyusul pengumuman penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas kepada Sabah pada 21 Dis lalu.
“Ini pastinya akan membantu serta memudahkan lagi kelulusan dan pelaksanaan projek yang sebelum ini kerap terhalang oleh kerenah birokrasi.
“Atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ini sudah pasti satu berita baik,” kata Hajiji dalam kenyataan.
Hajiji berkata, beliau dan rakan sejawatnya di Sarawak akan menemui perdana menteri untuk memuktamadkan beberapa perkara dalam MA63, termasuk berhubung isu peruntukan khas.
Katanya, jawatankuasa kerja dan kajian berkaitan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof akan terus berjalan.
“Satu lagi berita baik yang kita jangka diumumkan ialah peruntukan bagi mempercepatkan lagi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.”
Sementara itu, Presiden Warisan, Shafie Apdal turut mengalu-alukan pengumuman berhubung projek itu.
“Ini menunjukkan komitmen kerajaan persekutuan sekarang untuk memartabatkan MA63.
“Warisan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan perdana menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat MA63 dilaksanakan,” katanya.
Terdahulu, Anwar dilaporkan berkata, pihaknya maklum terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek di Sabah dan Sarawak meskipun banyak dana diperuntukkan kerana birokrasi.
Beliau berkata, walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai Jabatan Kerja Raya sendiri, banyak keputusan perlu dimuktamadkan di Putrajaya.