Wujud keperluan untuk industri terlibat secara aktif dalam pembangunan kurikulum TVET, kaedah penyampaian dan penilaian, kata Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa kerajaan agar menghapuskan birokrasi berkait insentif cukai bagi menggalakkan latihan amali bagi pelajar latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET).
Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, sistem TVET semasa terbeban dengan pelbagai pertindihan mandat dan bidang kuasa kementerian dan agensi.
“Buang birokrasi yang sedia ada agar majikan dapat memanfaatkan insentif cukai untuk menyediakan tempat latihan,” katanya dalam kenyataan.
Langkah itu akan menggalakkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) menyediakan tempat latihan kepada pelajar yang memerlukan latihan industri.
Syed Hussain Syed Husman.
Syed Hussain berkata, wujud keperluan untuk industri terlibat secara aktif dalam pembangunan kurikulum TVET, kaedah penyampaian dan penilaian.
“Ini supaya belia bersedia sepenuhnya untuk bekerja selepas tamat pengajian dan tidak perlu latihan lanjut atau latihan semula,” katanya.
Beliau berkata, kakitangan akademik perlu diberi lebih banyak cuti sabatikal untuk mengikuti latihan bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan mempunyai maklumat langsung mengenai perkembangan dan keperluan terkini industri.
Hanya dengan cara itu pendidikan TVET boleh menjadi lebih relevan dan responsif kepada keperluan pasaran buruh.
Syed Hussain berkata TVET harus dijadikan arus perdana untuk mendapat sokongan yang lebih baik daripada ibu bapa.
Bagi tujuan ini, katanya, diploma dan ijazah yang dianugerahkan kepada graduan TVET perlu mendapat pengiktirafan sepenuhnya oleh kerajaan dan industri.