SERDANG: Harga ayam boleh didapati dengan lebih rendah berbanding harga siling yang ditetapkan sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram, meskipun kerajaan menamatkan sepenuhnya subsidi dan harga kawalan ayam bermula esok.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata pemain industri telah memberi jaminan kepada kerajaan bahawa harga ayam tidak akan naik mendadak mulai 1 Nov serta memberi jaminan bekalan ayam mencukupi.
“Setelah pelaksanaan (subsidi dan kawalan harga ayam) selama 20 bulan, kita melihat dengan jaminan daripada industri bahawa kita boleh apungkan harga ayam.
“Pihak industri juga memberikan jaminan bahawa bekalan ayam mencukupi dan mereka berupaya untuk menjual pada kadar lebih rendah daripada harga kawalan (sebelum ini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).
Meskipun telah mendapat jaminan daripada pihak industri, Armizan berkata kementerian itu tetap menggerakkan 900 pegawai pemantau harga ke semua kawasan esok untuk memantau harga ayam dan mengambil tindakan perundangan jika perlu.
Kerajaan sebelum ini menetapkan harga ayam tidak boleh dijual melebihi RM9.40 per kg.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu semalam, mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 Nov, manakala melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.
Beliau berkata penamatan subsidi secara pukal itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, selain meminta orang ramai tidak membuat pembelian panik dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan bekalan ayam dijamin mencukupi.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Armizan berkata kementerian juga kini dalam proses akhir untuk meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 713) yang dijangka dibentangkan pada sidang pertama Dewan Rakyat tahun hadapan.
Beliau berkata pindaan terhadap Akta 712 antaranya memasukkan komponen baharu dikenali rejim kawalan penggabungan bagi mengawal selia sekiranya wujud elemen kecenderungan syarikat untuk bergabung dan berpakat dalam mengehadkan harga dan pengeluaran.
Menurutnya, sejak 2012 hingga Oktober 2023, MyCC mengambil tindakan terhadap 247 syarikat dengan penalti kewangan mencecah RM175 juta kerana melakukan kesalahan di bawah Akta 712 manakala 430 kes masih dalam siasatan.