Anuar Ahmad berkata Malaysia perlu menyelesaikan masalah dalam sistem pendidikan untuk elak negara ulangi kemerosotan dalam laporan Pisa 2022.
PETALING JAYA: Pentadbir pendidikan negara perlu berhenti daripada terus mencipta “slogan”, sebaliknya bertindak segera menyelesaikan isu berbangkit melingkari sektor itu, kata ahli akademik.
Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Majlis Profesor Negara, Anuar Ahmad, mendakwa beban guru, kepadatan murid dan keciciran sudah diutarakan sejak sekian lama namun tidak diberi perhatian sewajarnya.
“Perubahan perlu dibuat segera, bukan lagi merancang bukan lagi tindakan memikirkan idea baru…perubahan yang perlu kita lakukan adalah menyelesaikan dan melaksanakan semua isu berbangkit dalam sistem pendidikan sekolah.
“Sekarang banyak slogan, nak buat ‘karamah insaniah’, ‘sekolah sejahtera’ tetapi semua itu bersifat slogan, tindakannya tidak berlaku di peringkat sekolah,” katanya kepada FMT.
“Akhirnya kita tak berubah, hanya slogan saja bertambah,” kata Anuar mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang membangkitkan kebimbangan kemerosotan ketara dalam laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (Pisa) 2022.
Dalam kalangan tujuh negara Asean yang mengambil bahagian, Kemboja berada di tangga teratas, disusuli Brunei, Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand.
Susulan itu, Anwar berkata negara tidak boleh berada dalam penafian mengenai keadaan sistem pendidikan ketika ini, dan menggesa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyemaknya semula.
Jejas imej di mata pelabur
Lantang membangkitkan isu pendidikan, Anuar berkata kebimbangan perdana menteri mempunyai asas kerana kemerosotan dalam literasi matematik, sains dan bacaan menunjukkan sistem pendidikan negara dalam keadaan tenat, malah dikhuatiri menjejaskan imej di mata pelabur.
“Pelabur luar mesti berhati-hati untuk melabur di negara yang sumber manusianya tidak kompetitif. Ini akan beri imej kurang baik kepada negara terhadap sumber manusia yang akan kita keluarkan,” katanya.
Anuar berkata, Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang dilancarkan pada 2013, cetusan idea Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pendidikan ketika itu seolah-olah gagal mencapai matlamatnya.
“Menerusi pelan itu, disasarkan pendidikan kita pada 2025 akan berada dalam kelompok pertama. Tetapi hari ini kita dalam kedudukan 51 daripada 81 dalam laporan Pisa, jauh daripada sasaran.
“Maksudnya kita gagal nak capai kualiti pendidikan yang dihasratkan berbanding negara serantau.”
“Kalau tak selesai (masalah dalam sistem pendidikan), murid tak akan dapat pendidikan berkualiti dan akhirnya kita akan (ulangi) keputusan yang keluar dalam laporan Pisa ini,” tegasnya.
Laporan Pisa 2022 dikeluarkan Disember lalu menunjukkan Malaysia mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi, dengan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilihat antara faktor penyumbang utama.
Hasil kajian dilaksanakan setiap tiga tahun kecuali pada 2021 susulan pandemik Covid-19, purata pencapaian Malaysia dalam literasi matematik menurun sebanyak 31 mata, manakala literasi saintifik (22) dan literasi bacaan (27) berbanding Pisa 2018.
Keputusan pentaksiran pada 2022 itu turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1% dalam penguasaan literasi saintifik, manakala literasi matematik (41%) dan literasi bacaan (41.9%).
Kajian Pisa menilai tahap kesediaan pelajar berusia 15 tahun yang menerima pendidikan formal untuk beradaptasi dengan masyarakat. Kajian itu bermula pada 17 April hingga 31 Mei 2022 di 199 sekolah, termasuk sekolah swasta.