Selain iCaur 03 dan 03T, ada sebuah lagi model EV dari sub-jenama Chery tersebut, iaitu V23. Model ini turut dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 dalam versi pemanduan sebelah kiri, dan masih menggunakan lencana iCar untuk pasaran domestik China.
V23 didedahkan pertama kali di China pada April tahun lalu dan datang dengan motor elektrik belakang yang menjana 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 180 Nm. Ia menerima kuasa sama ada daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh yang memberikan jarak 401 km CLTC, atau bateri nickel manganese cobalt (NMC) 81.76 kWh yang memberikan jarak 550 km.
V23 ini juga ditawarkan dalam versi pacuan semua roda yang menerima tambahan motor elektrik di depan dengan janaan 75 PS (74 hp atau 55 kW) dan 112 Nm untuk memberikan output sistem keseluruhan sebanyak 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan 292 Nm. Varian AWD hanya ditawarkan dengan bateri NMC 81.76 kWh dengan jarak 501 km.
V23 lebih kecil berbanding 03 dengan ukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi, dengan jarak roda yang sedikit panjang dengan 2,735 mm, berbanding 2,715 mm untuk 03.
Di China, V23 dijual dengan harga antara 109,800 dan 149,800 yuan (sekitar RM65k dan RM89k). 03 juga berada tidak jauh dari harga tersebut: antara 109,800 dan 139,800 yuan (RM65k dan RM83k).
Walaupun belum ada pengesahan berapa RM harga V23 yang akan dijual di sini, tanda harga 03 di sini boleh memberi sedikit gambaran. iCaur Malaysia telah mula mengambil pendaftaran minat untuk 03, dengan dua varian ditawarkan, dan harga antara RM145,000 dan RM155,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.