Idrus ada pengalaman luas dalam perundangan, kata Ambiga

Bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan.

PETALING JAYA: Bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan menyambut baik pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Idrus Harun sebagai peguam negara kerana beliau memiliki pengalaman luas dalam bidang perundangan.

“Apabila beliau kembali ke Jabatan Peguam Negara, semestinya beliau akan membawa segala pengalamannya sebagai hakim ke pejabatnya. Saya yakin beliau mampu menangani cabaran tersebut.

“Peranan peguam negara dalam iklim hari ini amat mencabar dan rakyat mempunyai harapan tinggi untuk seorang peguam negara yang berani, bebas dan kompeten,” kata peguam itu kepada FMT.

Beliau yakin Idrus akan menegakkan undang-undang negara dan tidak mengambil mudah pihak yang menyalahgunakan sistem perundangan serta mengkhianati amanah rakyat.

Idrus Harun

Idrus dilantik sebagai peguam negara selaras Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan selama 2 tahun mulai hari ini, selepas Tommy Thomas memendekkan perkhidmatan beliau yang sepatutnya tamat pada Jun ini susulan politik negara.

Idrus, 65, pernah dilantik sebagai peguamcara dan penasihat undang-undang di Suruhanjaya Pilihan Raya serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, Idrus ialah hakim Mahkamah Rayuan.

Seorang lagi peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos menyifatkan pelantikan Idrus sebagai keputusan tepat.

“Idrus sendiri dikenali disebabkan integritinya, bebas, sikap kemanusiaannya dan keadilan.

“Dia dijangka boleh melaksanakan tugasnya dengan baik dan mendakwa dengan belas kasihan,” katanya ringkas.

Source link

Comments (0)
Add Comment