Individu kejar kemenangan mudah jadikan PAS ‘hotel persinggahan’, kata Hadi

Abdul Hadi Awang menghadiri Muktamar PAS ke-66 di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan di Pengkalan Chepa pada Ahad. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tetap kuat dan utuh walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, termasuk dikhianati individu yang pernah bersama parti itu.

Beliau berkata, individu terbabit meninggalkan parti itu demi mengejar sesuatu yang menguntungkan mereka apabila melihat PAS tergugat.

“Mereka jadikan PAS sebagai ‘hotel persinggahan’ kerana mahukan kemenangan mudah, tetapi PAS dengan perjuangan Islam tetap utuh dan tidak pernah jatuh.

“PAS cukup matang dalam berpolitik kerana kita pernah ‘bertahaluf’ dengan banyak parti sejak dahulu dan walaupun meninggalkan dan ditinggalkan mereka, kita tetap istiqamah dan terus matang,” katanya dalam ucapan penggulungan presiden pada Muktamar PAS ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan di Pengkalan Chepa pada Ahad.

Muktamar sehari itu bermula pagi Ahad dan dalam keadaan normal baru dengan kira-kira 400 perwakilan hadir, sebagai mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) bagi membendung penularan Covid-19.

Hadi memberi contoh ketika Pilihan Raya Umum 1990 ketika PAS bertahaluf dengan Semangat 46 dan menang di Kelantan, tetapi parti itu kemudiannya dibubarkan, namun PAS tetap teguh di negeri itu sehingga sekarang.

“…kerana perjuangan kita yang istiqamah inilah, kita tetap berdiri dan akhirnya kita merampas Terengganu dan juga bersama Perikatan Nasional di Kedah.”

Beliau berkata, PAS akan terus memberi penerangan kepada rakyat mengenai perjuangannya supaya rakyat, khasnya bukan Islam dapat memahami keadaan itu dan bukannya membuat tafsiran Islam kolot.

“Pendekatan ini memerlukan masa dan ia sangat mencabar. Ia agar mereka benar-benar memahaminya.”

Source link

Comments (0)
Add Comment