Industri kelulut mampu capai jualan RM3.03b

Kuala Lumpur: Industri ternakan kelulut di Malaysia berpotensi mencapai anggaran jualan maksimum sebanyak RM3.03 bilion setahun sekiranya industri terbabit terus dikembangkan dan dimajukan.

Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Nur Azura Sanusi berkata, jumlah itu berdasarkan anggaran pengambilan madu kelulut oleh setiap rakyat Malaysia iaitu sebanyak 330 gram dalam tempoh setahun.

“Ketika ini, jumlah pasaran yang sudah dicapai dalam industri kelulut negara hanya RM33.6 juta, sedangkan potensi pasaran yang boleh diteroka sebenarnya jauh lebih tinggi iaitu RM67.2 juta.

“Ini membuktikan industri ternakan kelulut di Malaysia sangat berpotensi dijadikan sebagai sumber pendapatan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dalam kalangan pengusahanya, sama ada secara kecil-kecilan atau ternakan komersial,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Dr Nur Azura adalah Ahli Jawatankuasa Penyediaan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 yang dilancarkan November tahun lalu sebagai antara usaha kerajaan untuk mengangkat industri kelulut sebagai sumber pendapatan baharu yang mampan dan kukuh.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Pertanian pada 2017, pengeluaran madu kelulut di Malaysia adalah 134,244 kilogram (kg) dengan nilai jualan RM19.3 juta, manakala produk hiliran seperti sabun dan krim kecantikan merekodkan jualan RM143,000.

Bagaimanapun, Dr Nur Azura berkata, jumlah pengeluaran itu masih sangat kecil berbanding permintaan pasaran iaitu 802,962kg dengan nisbah hampir enam kali ganda.

“Bagi meningkatkan lagi pengeluaran madu kelulut, beberapa strategi dikenal pasti antaranya bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan kepada pengusaha termasuk kursus dan bimbingan keusahawanan.

“Selain itu, terdapat keperluan untuk mewujudkan pusat pengumpulan madu kelulut sebagai satu pusat sehenti yang menjadi rujukan dari segi piawaian, ketulenan dan pensijilan bagi memastikan semua pengusaha mematuhi spesifikasi yang ditetapkan dan secara tidak langsung memberi keadilan kepada pengguna,” katanya.

Menyentuh aktiviti pengeksportan madu kelulut, Nur Azura berkata, sehingga 2018, Malaysia sudah mengeksport 100kg madu kelulut ke Jepun, 300kg ke Singapura dan 500kg lagi ke India, Taiwan dan China.

“Sehingga tahun itu, tiada aktiviti import membabitkan madu kelulut di seluruh negara direkodkan,” katanya.

Dr Nur Azura berkata, industri itu menghadapi beberapa cabaran di peringkat pasaran dunia antaranya disebabkan masih banyak negara belum dapat mengiktiraf madu kelulut sebagai satu daripada jenis madu memandangkan rasanya yang masam dan berbeza dengan madu lebah. – Bernama

Source link

Comments (0)
Add Comment