Isu buli siber dibentang ke Jemaah Menteri Jumaat depan, kata Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menemui seorang ahli keluarga pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri akibat buli siber baru-baru ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik, termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, pembentangan itu diminta Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan ia akan menyentuh laporan melibatkan seorang pempengaruh TikTok didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.
“Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku, tetapi (juga akan) mengambil tindakan, terutama kalau perlu pinda akta, dan kita lihat apakah kelemahan sekarang,” katanya selepas melawat keluarga pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia, di sini.
Mayat pempengaruh wanita 29 tahun itu ditemui di rumahnya kira-kira 11 pagi Jumaat lalu.
Fahmi berkata, masalah utama dalam menangani buli siber adalah kebanyakan pelaku bersembunyi di sebalik akaun palsu sehingga menyukarkan usaha mengenal pasti identiti mereka.
“Salah satu aduan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Komunikasi daripada pihak polis adalah akaun terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan ini berselindung di sebalik ‘fake account’, tidak dapat dikenal pasti identiti individu yang mengeluarkan komen atau terlibat scam dan sebagainya.”
Menurutnya, keluarga pempengaruh itu membuat laporan polis dan pihak kementerian berhubung dengan TikTok yang menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama lebih proaktif.
Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai, termasuk penjawat awam mengelak menjadi pembuli siber, sebaliknya terus mengekalkan adab dan budaya ketimuran.
Beliau berkata pihaknya akan menimbangkan keperluan meminda akta sedia ada berkaitan buli siber dan menegaskan individu terlibat kes kematian pempengaruh itu akan dibawa ke muka pengadilan.
“Perkara ini dimaklumkan kepada perdana menteri semalam dan saya telah bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Kita mempunyai pendirian sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi.
“Kesalahanbukan hanya dalam isu seperti mengaibkan atau menzahirkan maklumat peribadi yang merupakan kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi, jadi insya Allah kita akan adakan pertemuan dan meneliti undang-undang sedia ada dan apakah langkah perlu kita ambil.”
Selain itu, Fahmi berkata, pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, hari ini mengingatkan rakyat tidak menjadikan media sosial platform berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan serta persengketaan.

Source link

buli siberfahmi fadziljemaah menteripempengaruhtiktok
Comments (0)
Add Comment